Bantuan kerajaan STR2024

RASMI PEMBAYARAN SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR) FASA 3 - 29 OGOS 2024

Admin
August 23, 2024
0 Comments
Home
Bantuan
kerajaan
STR2024
RASMI PEMBAYARAN SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR) FASA 3 - 29 OGOS 2024


Putrajaya - Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 seperti yang dijadualkan mulai 29 Ogos 2024 (Khamis) kepada lebih 8 juta penerima sedia ada, manakala bagi penerima baharu dan rayuan pula akan menerima bayaran mulai 18 September 2024 (Rabu). Mereka akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing. - bantuantunai.hasil.gov.my



YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia.


"Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah," kata beliau.



"Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Insya- Allah, dengan lebih penambahbaikan kepada pengurusan kewangan dan tatakelola, Kerajaan akan mampu untuk memberi lebih bantuan pada masa kelak kepada golongan terbanyak serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir," tambah beliau.


Mulai 2024, Kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan. Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.


Penerima sedia ada dan penerima baharu/rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat².


Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my.


Kementerian Kewangan (MOF) ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu.


Untuk sebarang pertanyaan mengenai STR, sila hubungi talian bantuan STR/SARA MOF di 03-8882 4565/4566.



Sumber: Kementerian Kewangan 




Blog authors

No comments