Keputusan pemberian kemudahan ini semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian. Namun, Kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.
Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus.
Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan KUARANTIN dan PERJALANAN untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara.
Sumber Kerajaan Malaysia
Kemudahan-kemudahan yang dimaksud secara amnya adalah seperti berikut:
Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, DIBENARKAN menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.
Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.
Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.
kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja DIBENARKAN di masjid dan surau bagi Jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap. Kemudahan ini juga terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara
Pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.
Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat MESTI menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.
Kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan-kemudahan bagi SEKTOR SOSIAL kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.
Kemudahan-kemudahan tersebut secara amnya adalah seperti berikut:
-Rentas daerah DIBENARKAN
Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah MESTI menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
-Aktiviti dine-In DIBENARKAN
Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan COVID-19.
Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama. Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka.
Saya juga ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik. Kita faham bahawa risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.
Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat.
Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) DIBENARKAN
Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik. Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah DIBENARKAN selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah TIDAK DIBENARKAN. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama DIBENARKAN melibatkan homestay dan hotel.
Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuatkuasa pada SELASA, 10 OGOS 2021. Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.
Kemudahan-kemudahan SEKTOR EKONOMI sedang dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan saya umumkan dalam waktu terdekat.
Kemudahan-kemudahan ini bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan SOP-SOP yang telah ditetapkan. Kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus COVID-19.
Saya telah mengarahkan YB Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19, memastikan kementerian-kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.
Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, MESTILAH BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.
Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak Kerajaan dan masyarakat. Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini.
Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan.
Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.
Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini. Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan Kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah Kita Menang Bersama. -Pejabat Perdana Menteri
Teks Ucapan Penuh : https://www.pmo.gov.my/2021/08/teks-pengumuman-khas-berkenaan-kemudahan-kemudahan-bagi-individu-yang-telah-menerima-vaksinasi-lengkap/
Sumber: Pejabat Perdana Menteri Malaysia / Kerajaan Malaysia