Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - Foto Kosmo
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemansuhan adalah berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas rakyat.
"Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.
Katanya, bagi ahli yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria dan syarat semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.
"Jumlah pengeluaran daripada Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan seperti yang dinyatakan sebelum ini akan dikekalkan," katanya.
Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.
Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Tengku Zafrul berkata, berikutan perubahan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.
"Perincian mendalam mengenai perkara itu akan diumumkan KWSP dalam masa terdekat. Kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan.
"Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih bertujuan menipu atau mengelirukan," katanya.
Pada ketika ini, kriteria kelayakan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.
Kategori pertama adalah ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan sudah lama tidak mencarum; suri rumah; bekerja sendiri dan bekerja di sektor ekonomi gig; hilang pekerjaan; diberi cuti tanpa gaji; hilang sumber pendapatan.
Manakala bagi kategori dua pula, ia diberikan kepada ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa) sejak 1 Mac 2020.
Permohonan ini perlu disertakan bersama dokumen seperti slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan serta notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan atau tuntutan kerja lebih masa; dokumen sokongan lain yang berkaitan seperti penyata bank dan surat pengesahan majikan.
Bagi kategori satu, pembayaran pertama i-Sinar sudah dibuat bermula 11 Januari 2021.
Bagi kategori dua, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. KWSP juga mengumumkan bayaran interim iaitu sejumlah bayaran yang dibayar lebih awal kepada pemohon i-Sinar kategori dua sementara permohonan mereka diproses sepenuhnya oleh KWSP.
Ahli perlu membuat pengisytiharan kendiri mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ke atas serta telah memuat naik dokumen sokongan secara dalam talian.-Bharian
Sumber: Bharian